Khamis, 13 Disember 2012

Definisi Kajian Tindakan



Definisi Kajian Tindakan

Kajian tindakan adalah satu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta iaitu pengamal pendidikan, guru atau pendidik sebagai penyelidik dalam situasi sosial itu sendiri. Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi) bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Ia melibatkan proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati.

Terdapat pelbagai definisi kajian tindakan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kajian tindakan. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Kemmis & McTaggart (1988)

Kajian tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan

ii. Ebbut (1985)

Kajian tindakan merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

iii. McNiff (1988)

Kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ianya melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.

iv. Somekh (1989)

Kajian tindakan ialah satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan peserta dalam situasi sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

v. Cochran-Smith dan Lytle (1990)

Kajian tindakan sebagai kajian bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu yang mereka sukai. Ianya juga menyediakan satu kaedah yang formal bagi menjadikan pengetahuan guru sebagai sebahagian daripada sumber maklumat dalam pengajaran serta mendekatkan guru dalam struktur kuasa dalam pendidikan.

vi. Kember dan Gow (1992),

Kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang
melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi

4 ulasan: